Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald Diserahkan di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Tingkatkan Sokongan kepada Kanak-Kanak Berkeperluan Khas
Seremban, 27 April 2026 – Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperkukuh kerjasama strategik melalui penyerahan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Seremban, sempena Bulan Kesedaran Autisme. Inisiatif ini memperluaskan akses kepada kemudahan terapi yang lebih lengkap dan tersusun, sekali gus menyokong intervensi awal serta perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas secara lebih berkesan.
Kerjasama ini turut merangkumi usaha menaik taraf bilik terapi sensori kepada fasiliti berskala penuh yang lebih menyeluruh untuk tujuan perubatan terapi lengkap. Ruang ini dilengkapi dengan peralatan integrasi sensori mengikut standard Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald melalui sumbangan komuniti sebanyak RM50,000 oleh RMHC Malaysia bersama rakan korporat yang menyokong usaha RMHC, sekali gus membolehkan sesi terapi dilaksanakan secara lebih berstruktur, konsisten dan berkesan.
Penyerahan ini menandakan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald ke-37 di seluruh negara, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan RMHC Malaysia dalam memperluaskan akses kepada kemudahan terapi untuk kanak-kanak berkeperluan khas. Secara keseluruhan, inisiatif ini memberi manfaat kepada lebih 4,500 kanak-kanak setiap tahun. RMHC Malaysia akan terus memperluas kerjasama strategik bagi memastikan lebih ramai kanak-kanak mendapat akses kepada intervensi yang konsisten dan berkualiti.
Kemudahan yang ditambah baik ini memperkukuh perkhidmatan terapi sedia ada melalui akses yang lebih tersusun dan konsisten kepada sesi terapi sensori. Ia membolehkan sokongan yang lebih berkesan diberikan kepada kanak-kanak autisme serta gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) dalam aspek pengawalan deria, fokus dan perkembangan kemahiran sosial.
Pengurus Besar RMHC Malaysia, Encik Mohd Nasri Mohd Nordin berkata akses kepada kemudahan yang sesuai penting dalam menyokong perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas. “Bilik Terapi Sensori ini menyediakan persekitaran yang selamat, lengkap dan kondusif untuk sesi terapi dijalankan secara konsisten. Dengan sokongan fasiliti serta latihan berkala kepada terapis sebanyak tiga kali setahun, kami percaya ia dapat memberi impak lebih menyeluruh kepada perkembangan anak-anak serta kualiti hidup keluarga mereka,” katanya.
Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang bin Ramjan berkata kerjasama antara sektor awam dan swasta perlu terus diperkukuh bagi memperluaskan akses kepada sokongan berkualiti untuk kanak-kanak berkeperluan khas,termasuk melalui rakan pelaksana seperti RMHC Malaysia yang konsisten membangunkan kemudahan bilik terapi. Beliau berkata inisiatif ini turut meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan tentang kepentingan bilik terapi sensori dalam kalangan masyarakat.
Penyerahan hari ini merupakan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald ke-3 yang berada di fasiliti di bawah pengelolaan JKM termasuk Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK). Bilik terapi yang pertama – di Taman Sinar Harapan Kuala Terengganu – telah dibina sepenuhnya oleh RMHC pada tahun 2010, manakala dua lagi bilik adalah sebahagian daripada inisiatif RMHC untuk menaiktaraf 11 bilik terapi sensori sedia ada di fasiliti JKM di seluruh negara yang dimulakan sejak 2025.
Usaha ini memastikan setiap pusat bukan sahaja dilengkapi kemudahan yang mencukupi, tetapi turut memenuhi standard operasi termasuk sokongan terapis cara kerja bertauliah serta pelaksanaan terapi yang berkesan dan berterusan.
“RMHC Malaysia akan terus komited menyokong usaha JKM serta memperluaskan peranannya sebagai rakan komuniti dalam menyediakan sokongan berterusan kepada golongan yang memerlukan,” kata Nasri Nordin.
Usaha berterusan ini mencerminkan kepercayaan RMHC Malaysia bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang yang sama untuk berkembang, disokong oleh sistem penjagaan dan terapi yang inklusif serta berkesan.
– Tamat –

(Tiga dari kiri) En Nasri Nordin, Pengurus Besar RMHC Malaysia bersama (empat dari kiri) YBhg Datuk Che Murad Sayang Bin Ramjan, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat bersama tetamu kehormat sewaktu pemotongan ribbon sempena gimik penyerahan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald yang baharu kepadaTaman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Seremban

YBhg Datuk Che Murad Sayang Bin Ramjan,Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat bersama En Nasri Nordin, Pengurus Besar RMHC Malaysia dan En Muhammad Yusof Abdul Kadir, Pakar Terapi Carakerja RMHC Malaysia sewaktu melawat Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald yang baharu di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Seremban


Suasana Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald yang baharu yang dilengkapi dengan pelbagai alatan untuk membantu anak-anak berkeperluan khas di Taman Sinar Harapan Tengku Ampuan Najihah, Seremban menjalani rawatan yang lebih lengkap.
