RMHC Malaysia dan Yayasan Jaafar Ahmad Teruskan Komitmen Program Pek Kembali ke Sekolah
GEMAS, 22 DISEMBER 2025 – Bagi kebanyakan kanak-kanak, hari pertama persekolahan adalah detik penuh harapan dan debaran. Namun, bagi keluarga berpendapatan rendah, ia sering menjadi punca kebimbangan. Hari ini, di FELDA Pasir Besar, Negeri Sembilan, kebimbangan itu bertukar menjadi senyuman apabila 300 murid daripada 17 sekolah menerima Pek Kembali ke Sekolah dari Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia.
Pelaksanaan Program Pek Kembali ke Sekolah buat kali ke-10 ini mencerminkan komitmen berterusan RMHC Malaysia memberi kembali kepada komuniti yang menyokong pendidikan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah. Dilaksanakan dengan sokongan Yayasan Jaafar Ahmad melalui sumbangan bernilai RM50,000, inisiatif ini terus memperkukuh usaha berterusan RMHC Malaysia dan rakan strategiknya terhadap pendidikan kanak-kanak yang memerlukan.
Sepanjang pelaksanaannya sejak 2017, Program ‘Pek Kembali ke Sekolah’ telah memberi manfaat kepada hampir 200,000 pelajar di seluruh Malaysia, dengan jumlah sumbangan melebihi RM12 juta. Setiap pek yang diagihkan bukan sekadar bantuan kelengkapan persekolahan, tetapi lambang keprihatinan masyarakat terhadap pendidikan dan masa depan generasi muda. Sempena pelaksanaan program kali ini, RMHC Malaysia menyasarkan pengagihan sebanyak 5,000 pek Kembali Ke Sekolah menjelang sesi persekolahan 2026.
“Program Pek Kembali ke Sekolah ini amat dekat di hati saya kerana saya juga merupakan anak peneroka FELDA dan memahami tekanan yang dihadapi ibu bapa apabila tiba musim persekolahan. Selari dengan teras pendidikan RMHC Malaysia, program ini diwujudkan untuk meringankan beban keluarga berpendapatan rendah, khususnya mereka yang anak-anaknya bakal melangkah ke alam persekolahan buat pertama kali. Di FELDA Pasir Besar, program ini diperluaskan ke 17 sekolah, membolehkan kami menyantuni lebih ramai keluarga yang memerlukan,” kata Dato’ Haji Azmir Jaafar, Presiden RMHC Malaysia serta Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia.
Sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif murni ini, Yayasan Jaafar Ahmad, yang diasaskan oleh Dato’ Haji Azmir Jaafar bersama ahli keluarganya, memperuntukkan sumbangan sebanyak 350 Pek Kembali ke Sekolah kepada kanak-kanak di dalam Daerah Tampin. Daripada jumlah tersebut, 50 pek telah diagihkan di Sekolah Kebangsaan Gemas sempena pembukaan restoran McDonald’s Gemas, manakala 300 pek disampaikan hari ini kepada murid daripada 17 sekolah sekitar FELDA Pasir Besar. Secara keseluruhan, 500 pek diperuntukkan untuk Negeri Sembilan daripada sasaran 5,000 pek di peringkat nasional.
Tuan Haji Zainuddin Jaafar, Penasihat Yayasan Jaafar Ahmad berkata, “Sebagai anak Negeri Sembilan, saya berbesar hati dapat menyumbang melalui Yayasan Jaafar Ahmad dengan kerjasama RMHC Malaysia bagi membantu anak-anak di negeri ini memulakan sesi persekolahan dengan penuh keyakinan. Sokongan ini bukan sahaja meringankan beban ibu bapa, tetapi juga menyuntik semangat kepada anak-anak yang akan melangkah ke alam persekolahan awal tahun depan. Saya harap usaha ini menjadi dorongan kepada mereka untuk mencapai cita-cita dan suatu hari nanti memberi kembali kepada keluarga serta masyarakat di negeri sendiri.”
Setiap pek mengandungi beg sekolah, uniform, kasut sekolah dan set alat tulis lengkap yang dibekalkan oleh MYDIN selaku rakan strategik, bagi memastikan pelajar memulakan sesi persekolahan dengan kelengkapan berkualiti dan sesuai untuk kegunaan sepanjang tahun.
Sebagai rekod, Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia selaku Pengasas Yayasan Jaafar Ahmad dan ahli keluarga beliau merupakan anak kelahiran FELDA Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan dan banyak menjalankan pelbagai inisiatif bagi menyalurkan manfaat kepada golongan yang memerlukan di Negeri Sembilan, termasuk usaha menambah baik fasiliti di sekolah luar bandar.
###

Pemberian cek sumbangan daripada pihak Yayasan Jaafar Ahmad untuk program pek kembali ke sekolah kepada sekolah-sekolah terpilih di sekitar Pasir Besar, Negeri Sembilan.

Sebahagian dari pelajar-pelajar 17 buah sekolah yang menerima Pek Kembali ke Sekolah.



Suasana sewaktu ibu bapa menebus kupon Pek Kembali Ke Sekolah untuk mendapatkan barangan sekolah baru untuk anak-anak.
