Rumah Ronald McDonald HCTM UKM Menjadi Tempat Berteduh dan Harapan Buat Keluarga

Kuala Lumpur, 16 Oktober 2025 – Di sebalik setiap senyuman anak yang sedang menerima rawatan, tersimpan kisah ketabahan ibu bapa yang berjuang di sisi mereka. Kisah-kisah inilah yang menjadi inspirasi kepada Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) untuk terus menyediakan ruang penuh kasih sayang dan harapan buat keluarga yang memerlukan.

Bersempena Program Bulan Komuniti McDonald’s Malaysia & RMHC Malaysia tahun ini, McDonald’s Malaysia & RMHC membuka peluang istimewa kepada wakil media untuk menyertai lawatan di Rumah Ronald McDonald (RMH) di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM).

Program tahunan ini meraikan semangat komuniti serta tanggungjawab sosial korporat McDonald’s Malaysia dalam menyantuni masyarakat di seluruh negara, khususnya dalam aspek kebajikan dan kesihatan kanak-kanak.

Rumah Ronald McDonald (RMH) berfungsi sebagai rumah kedua bagi keluarga pesakit pediatrik untuk menginap sambil keluar dari suasana hospital bagi mendapatkan ketenangan serta kekuatan ketika menemani anak-anak mereka mendapatkan rawatan dihospital. Melalui inisiatif ini, RMHC memastikan setiap keluarga mempunyai ruang penginapan yang selamat dan selesa di dalam kawasan hospital — agar mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada anak-anak tanpa dibebani dengan masalah kos berulang-alik dari rumah ke hospital ataupun kos mendapatkan tempat tinggal berhampiran.

Sejak mula beroperasi pada tahun 1999, RMH HCTM UKM telah menjadi penginapan sementara kepada hampir 1,000 keluarga setiap tahun. Rumah banglo 3 tingkat yang dibina didalam kawasan HCTM UKM ini serba lengkap dengan 18 bilik tidur, dapur, ruang makan, bilik dobi, surau, taman permainan dan mini gimnasium. Kemudahan RMH ini bukan sekadar menjadi rumah kedua untuk keluarga menginap, tetapi turut menjadi sumber kekuatan serta sokongan emosi di kalangan ibu bapa yang sama-sama menemani anak-anak mereka sepanjang tempoh rawatan.

“Setiap kali kami melawat Rumah Ronald McDonald, kami melihat sendiri bagaimana kasih sayang dan keprihatinan dapat membentuk komuniti kecil yang saling menyokong antara satu sama lain,” kata Mohd Nasri Mohd Nordin, Pengurus Besar RMHC Malaysia.

“Kami percaya bahawa pesakit kanak-kanak memerlukan sokongan keluarga di sisi mereka ketika menerima rawatan. Kehadiran ahli keluarga terutamanya ibu dan ayah dapat membantu proses pemulihan anak-anak.  Oleh itu, kami menyediakan ruang yang selamat dan selesa untuk keluarga di dalam kawasan hospital agar keluarga berada dekat dengan pesakit.”

Menurut kajian oleh Persatuan Profesional Kehidupan Kanak-Kanak (ACLP), sokongan emosi yang diterima daripada ibu bapa dan pakar kehidupan kanak-kanak dapat membantu kanak-kanak berasa lebih tenang, selamat, serta mengurangkan tahap kebimbangan dan tekanan semasa berada di hospital.

Sementara itu Datin Dr. Anita Sulong, Timbalan Pengarah (Diagnostik & Sains Kesihatan), Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM, berkata, “Hubungan rapat antara ibu bapa dan anak semasa tempoh rawatan bukan sahaja memberikan ketenangan emosi kepada pesakit kecil, tetapi juga membantu proses pemulihan keseluruhan. Kami melihat sendiri bagaimana kemudahan seperti Rumah Ronald McDonald memberi impak positif kepada kesejahteraan psikologi keluarga pesakit pediatrik. Rumah Ronald McDonald adalah merupakan salah satu kemudahan yang amat diperlukan oleh keluarga pesakit kami, terutamanya yang datang dari luar Lembah Klang.”

Bagi Pn Hazwani, salah seorang ibu yang pernah menginap di Rumah Ronald McDonald menyatakan bahawa “Saya amat bersyukur kerana dapat menginap di Rumah Ronald kerana sebelum kami dapat tempat disana, kami terpaksa tidur di dalam kereta demi memastikan kami boleh berada di hospital secepat mungkin apabila doktor ingin berjumpa dengan kami berkaitan keadaan anak saya.” Katanya lagi, “Di sana kami terasa seperti dirumah sebab adanya fasiliti seperti bilik dobi yang saya selalu gunakan untuk mencuci pakaian disamping berada dekat dengan anak saya Aisy.”

Selain RMH HCTM UKM, terdapat tiga lagi Rumah Ronald McDonald di seluruh Malaysia iaitu di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur, dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah.

RMHC Malaysia turut menjalankan empat inisiatif utama yang keseluruhannya menyentuh aspek kebajikan, kesihatan dan pendidikan kanak-kanak. Selain daripada Rumah Ronald McDonald, RMHC Malaysia juga menyumbang Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald kepada hospital pengajar, pusat-pusat pendidikan khas dan pusat-pusat jagaan anak-anak istimewa di 35 lokasi di seluruh negara, tajaan penuh pembedahan pembetulan kepada anak-anak yang dilahirkan klef (sumbing bibir dan lelangit) melalui program Anugerah Senyuman, dan Pek Kembali ke Sekolah kepada anak-anak keluarga asnaf dan berpendapatan rendah.

En Nasri dan Datin Dr. Anita ketika sesi soal jawab bersama para media

Sesi perkongsian bersama penerima manfaat Rumah Ronald McDonald, Puan Nur Hazwani Binti Harun dan Encik Teruna Bin Timpal

Antara kemudahan yang disediakan di RMH HCTM UKM seperti dapur, ruang makan, bilik dobi, bilik solat, ruang tamu, sudut bacaan, bilik permainan kanak-kanak, mini gimnasium dan taman permainan