RMHC Malaysia Tingkat Kualiti Hidup Anak-Anak Istimewa Melalui Sumbangan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald ke Pusat PDK Semenyih
Semenyih, 23 Oktober 2025 – Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) dengan sokongan rakan korporatnya, McDonald’s Malaysia, hari ini menyerahkan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald (RMSR) di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Semenyih kepada pihak pengurusan Program PDK Semenyih selepas dinaik taraf oleh RMHC Malaysia.
Majlis ini bukan sekadar simbolik penyerahan kemudahan, tetapi juga menandakan komitmen RMHC Malaysia untuk memperkasa kesejahteraan komuniti dengan memperluaskan kesedaran tentang kepentingan pembangunan anak-anak istimewa dengan terapi berkualiti.
Dengan penyerahan bilik sensori ini, RMHC berusaha memastikan setiap kanak-kanak berkeperluan khas dari keluarga B40 mendapat akses kepada terapi yang diperlukan dan diberi peluang yang sama untuk belajar, berkembang dan menjalani kehidupan yang lebih bermakna dalam persekitaran yang inklusif.
Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald di Pusat PDK Semenyih merupakan bilik sensori pertama yang dibangunkan di bawah rangkaian 580 Pertubuhan PDK di seluruh negara, dan kini dinaik taraf sepenuhnya dengan sokongan dana serta kepakaran RMHC Malaysia. Ruang terapi ini kini tampil lebih kondusif, interaktif dan selesa — membolehkan anak-anak istimewa menjalani sesi terapi deria dengan lebih berkesan dan menyeronokkan.
Program PDK – yang ditadbir urus sepenuhnya oleh Pertubuhan PDK dengan pemantauan dan seliaan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) – adalah program yang bertujuan untuk memberikan rawatan dan pemulihan bagi golongan OKU dan berkeperluan khas dari keluarga B40 di komuniti-komuniti seluruh Malaysia. Antara fungsi utama Pusat PDK termasuk menyediakan program pemulihan, latihan, pendidikan, dan integrasi sosial bagi pelbagai kategori OKU seperti Sindrom Down dan autisme.
Menurut Encik Mohd Nasri Mohd Nordin, Pengurus Besar RMHC Malaysia, “Bilik Terapi Sensori yang RMHC Malaysia sumbangkan ini adalah satu kemudahan yang amat diperlukan demi pembangunan dan perkembangan anak-anak istimewa. Ianya bukan sekadar tempat untuk menjalani terapi – ia adalah ruang untuk anak-anak istimewa belajar, meneroka dan membina keyakinan diri dalam suasana yang positif demi perkembangan yang baik. Kami percaya, apabila komuniti dibekalkan dengan kemudahan yang betul, kesejahteraan dan kualiti hidup mereka turut meningkat. RMHC Malaysia komited untuk terus menyokong usaha memperkasakan komuniti B40 dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan akses terapi awal untuk anak-anak istimewa.”
Beliau turut menambah bahawa kerjasama erat antara RMHC Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan McDonald’s Malaysia membuktikan bagaimana sinergi antara pihak NGO, sektor korporat dan kerajaan mampu membawa impak sosial yang mampan kepada masyarakat.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang bin Ramjan, turut menzahirkan penghargaan kepada RMHC Malaysia atas inisiatif ini. “Kerjasama ini amat bermakna kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada pelatih di Pusat PDK yang rata-ratanya dari keluarga B40, tetapi juga membantu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan intervensi awal bagi anak-anak berkeperluan khas. Apabila lebih ramai pihak tampil memberi sokongan, kita dapat mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif dan penyayang untuk semua.”
Pusat PDK Semenyih kini menempatkan 52 pelatih (pengguna) aktif, majoritinya terdiri daripada anak-anak dengan autisme dan ADHD, serta mampu menampung sehingga 110 sesi terapi sebulan. Melalui kemudahan yang dinaik taraf ini, penjaga dilatih oleh juru pulih dari RMHC Malaysia untuk melaksanakan sesi pembelajaran dan perkembangan melalui pendekatan lebih interaktif dan disesuaikan mengikut keperluan individu setiap anak.
Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald berfungsi sebagai ruang terapi deria yang membantu kanak-kanak berkeperluan khas membina keyakinan diri, meningkatkan fokus serta kemahiran kognitif dan sosial, melalui penggunaan cahaya, warna, bunyi dan tekstur yang menstimulasi deria mereka dalam suasana yang tenang dan menyeronokkan.
Sejak 1999, RMHC Malaysia telah membangunkan 36 Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald di seluruh negara dengan sumbangan melebihi RM3.3 juta, memberi manfaat kepada lebih 4,500 kanak-kanak setiap tahun. Usaha ini sejajar dengan misi RMHC untuk meningkatkan taraf hidup komuniti melalui akses yang lebih inklusif terhadap pendidikan, kesihatan dan terapi kanak-kanak istimewa, terutamanya bagi keluarga berpendapatan rendah.




Sekitar lawatan ke Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald bersama para tetamu kehormat


Persembahan tarian dan oleh anak anak istimewa PPDK Semenyih
