Berkongsi Rezeki di Bulan Ramadan, RMHC Malaysia Santuni Anak Yatim

KUALA LUMPUR, 3 APRIL 2024 – Sempena bulan Ramadan yang mulia, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) yang merupakan badan kebajikan pilihan McDonald’s Malaysia, meneruskan inisiatif tahunannya berkongsi rezeki dengan anak-anak yatim.

RMHC Malaysia berpeluang menyantuni kira-kira 100 anak yatim dari dua buah rumah kebajikan kanak-kanak di Kuala Lumpur. Ini termasuklah anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Dan Asnaf Qaseh Ibu dalam satu majlis berbuka puasa di Rumah Ronald McDonald di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM-UKM), Cheras, pada 29 Mac, dan juga Rumah Kebajikan Baitul Ehsan Al-Khairi di Rumah Ronald McDonald yang terletak dalam pekarangan Hospital Tunku Azizah (Hospital Wanita dan Kanak Kanak Kuala Lumpur) pada 23 Mac lalu. 

“Bulan Ramadan membuka peluang untuk memperoleh pahala berlipat melalui ibadah dan amal kebaikan kepada sesame. Sebab itulah, setiap kali tibanya Ramadan, RMHC Malaysia tidak pernah melepaskan peluang menyantuni anak-anak yatim melalui majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan yang diadakan. Selain empat program teras yang dilaksanakan, RMHC Malaysia sentiasa meluaskan inisiatif kemasyarakatannya melalui banyak lagi program lain yang boleh memberi manfaat kepada kesejahteraan kanak-kanak, sebagaimana yang diadakan pada hari ini,” kata Dato’ Azmir Jaafar, Presiden, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia.

Dalam majlis berbuka puasa yang diadakan, kedua-dua rumah kebajikan kanak-kanak yang terlibat turut menerima sumbangan wang tunai RM3,000 bagi membiayai kos harian anak-anak yatim sepanjang Ramadan dan juga persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri. 

Lebih istimewa, majlis berbuka puasa yang diadakan di Rumah Ronald McDonald HCTM-UKM turut mendapat kerjasama Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak, yang menyediakan dan mengagihkan 1,000 bungkus bubur lambuk kepada para petugas kesihatan, dan juga ahli keluarga pesakit yang tinggal di Rumah Ronald McDonald. Selain itu, kesemua anak yatim yang hadir juga menerima Pek Kembali ke Sekolah yang merupakan pek kelengkapan sekolah.

###



RMH Online Booking