RMHC Malaysia Menyantuni 11,000 Murid Dari Keluarga Berpendapatan Rendah Dengan Pek Kembali Ke Sekolah

PASIR BESAR, 6 MAC 2024 – Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) yang merupakan badan kebajikan pilihan McDonald’s Malaysia, akan menyantuni 11,000 murid kurang berkemampuan di seluruh Malaysia dengan mengagihkan Pek Kembali Ke Sekolah sempena sesi persekolahan 2024. Pengagihan pek-pek ini dilakukan secara berperingkat sejak Disember 2023 sehinggalah minggu pertama sesi persekolahan baru yang akan bermula pada Mac ini.

Pek Kembali Ke Sekolah merupakan salah satu program teras di bawah RMHC Malaysia dan telah dilaksanakan sejak tahun 2017 lagi. Secara keseluruhan, RM1.5 juta telah berjaya dikumpul dan dibelanjakan bagi menjayakan pelaksanaan inisitif Pek Kembali Ke Sekolah pada tahun ini. Wang tersebut adalah hasil sumbangan syarikat-syarikat korporat dan orang-orang perseorangan yang prihatin, termasuklah di kalangan para pelanggan dan warga kerja McDonald’s Malaysia.

“Sebagai sebuah badan kebajikan yang memfokuskan kepada kesejahteraan kanak-kanak di Malaysia, RMHC Malaysia meneruskan inisiatif pengagihan Pek Kembali Ke Sekolah bagi meringankan beban ibu bapa dari segi penyediaan kelengkapan persekolahan untuk anak-anak. Selain itu, kami juga berharap agar Pek Kembali Ke Sekolah yang diberikan ini dapat memberi motivasi kepada anak-anak untuk belajar bersungguh-sungguh di sekolah,” kata Nasri Nordin, Pengurus Besar, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia.

Sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif murni RMHC Malaysia, Yayasan Jaafar Ahmad turut menyediakan Pek Kembali Ke Sekolah kepada hampir 1,000 murid pra-sekolah di seluruh Negeri Sembilan yang akan melangkah ke Tahun 1 pada minggu depan, termasuk 300 murid di sekolah-sekolah luar bandar di sekitar daerah Tampin. 

“Sebagai anak jati Negeri Sembilan, sumbangan melalui yayasan ini adalah cara saya sekeluarga menabur bakti kepada negeri kelahiran saya dan masyarakat di sini. Inisiatif Pek Kembali Ke Sekolah cukup dekat di hati saya, kerana saya juga pernah jadi anak kecil yang datang dari keluarga kurang berkemampuan dan tahu bagaimana perasaannya apabila mendapat kelengkapan sekolah baru. Selain bersemangat ke sekolah, besar harapan saya agar sumbangan ini dapat mencipta kejayaan cemerlang dalam pelajaran dan mengubah nasib keluarga,” kata Zainudin Jaafar, Penasihat kepada Yayasan Jaafar Ahmad.

Yayasan Jaafar Ahmad merupakan sebuah badan kebajikan yang diasaskan oleh keluarga Dato’ Azmir Jaafar, Presiden, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia yang ditubuhkan bagi membantu golongan yang memerlukan di Negeri Sembilan. 

Dato’ Azmir Jaafar dan adik-beradik beliau juga merupakan alumni Sekolah Kebangsaan (Felda) Pasir Besar.  Melalui Yayasan Jaafar Ahmad, mereka sekeluarga telah menyumbang kepada anak-anak dari sekolah ini setiap tahun. Sekolah Kebangsaan (Felda) Pasir Besar juga antara penerima Pek Kembali Ke Sekolah yang disampaikan di Dewan Semai Bakti Felda Pasir Besar, hari ini yang berupa beg sekolah, pakaian seragam dan peralatan sekolah.

Sejak pertama kali diperkenalkan pada tahun 2017, sehingga kini sejumlah RM9.7 juta telah dibelanjakan bagi memberi manfaat kepada lebih 157,000 murid sekolah daripada keluarga berpendapatan rendah di seluruh negara. 

RMHC Malaysia juga akan terus komited untuk melaksanakan inisiatif kemasyarakatannya pada tahun-tahun mendatang dan sumbangan orang ramai sangat dialu-alukan bagi menjayakannya.

###



RMH Online Booking