Sambutan Hari Jadi McDonald’s Ceriakan Anak Yatim

Kuala Lumpur, 2 Oktober 2022 – McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia berganding bahu mengukuhkan komitmen mereka dalam mewujudkan impak positif di kalangan masyarakat melalui program Bulan Komuniti yang bertumpukan kepada kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak sepanjang bulan Oktober ini. Bulan Komuniti adalah sebahagian daripada Program Komuniti @ McD & RMHC yang merupakan inisiatif utama memayungi segenap usaha kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh McDonald’s Malaysia dan RMHC Malaysia pada setiap tahun.

Untuk Bulan Komuniti tahun ini, RMHC Malaysia akan menyumbangkan set tilam dan bantal baharu bernilai RM275,000 kepada 20 rumah kebajikan kanak-kanak di seluruh negara. Dimulai dengan lawatan ke Pertubuhan Rahoma Darul Fakir, Kuala Lumpur pada hari ini, warga kerja McDonald’s dari lebih 300 restoran akan menggembleng tenaga untuk mengunjungi 400 rumah kebajikan bagi menceriakan 12,000 anak yatim dengan penganjuran sambutan atau parti hari jadi.

“Memang sudah menjadi kelaziman bagi kami di McDonald’s untuk menyantuni anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan. Malah, kesejahteraan masyarakat di sekitar lokasi operasi McDonald’s sentiasa mendapat perhatian kami. Dengan adanya RMHC Malaysia, ia secara langsung melancarkan lagi pelaksanaan inisiatif kemasyarakatan sebegini memandangkan RMHC Malaysia sentiasa komited menyokong sebarang usaha melibatkan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak,” kata Puan Shamsidar Yahya, Pengarah Komunikasi Korporat, McDonald’s Malaysia.

“Usaha bersama ini nampak kecil namun cukup bermakna kepada anak-anak ini. Setiap kali mereka dirai, senyum dan tawa mereka membuatkan kami tersentuh. Disebabkan itu kami nekad untuk jadikan sambutan ini sebagai acara tahunan, dan selagi mana ia disambut baik, kita akan teruskan usaha bersama ini demi kebajikan kanak-kanak ini,” tambah Puan Shamsidar Yahya.

Puan Shamsidar Yahya bersama-sama Encik Nasri Nordin, Pengurus Besar, RMHC Malaysia telah hadir menyampaikan sumbangan set tilam dan bantal baharu kepada Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Kuala Lumpur.

Puan Shamsidar Yahya turut berkata bahawa pendekatan melalui penganjuran parti hari jadi oleh McDonald’s di rumah-rumah kebajikan ini adalah sebagai simbolik kasih sayang kepada anak-anak ini, memandangkan hari kelahiran merupakan hari yang paling bermakna dan istimewa dalam hidup seseorang, tambahan pula setelah beberapa tahun tidak menerima kunjungan dari orang luar disebabkan pandemik yang melanda.

“Kami sangat berbesar hati menerima kehadiran McDonald’s dan RMHC. Kami sudah lama tidak menerima kunjungan ramai seperti ini ditambah pula dengan penganjuran parti hari jadi besar-besaran yang jarang sekali dibuat. Anak-anak di sini sangat teruja dan gembira, dan saya sangat terharu melihat senyuman yang terukir di wajah mereka. Sumbangan set tilam dan bantal baharu pula sememangnya amat dialukan kerana ia mampu memberikan keselesaan untuk anak-anak di sini selepas penat menghabiskan masa dengan aktiviti seharian,” kata Dato’ Faridah Haji Omar, Presiden, Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Kuala Lumpur.

McDonald’s Malaysia dan RMHC Malaysia komited mendekati seramai mungkin golongan masyarakat yang memerlukan di negara ini. Melalui Program Komuniti @McD & RMHC, dianggarkan lebih 7,000 aktiviti kemasyarakatan dilaksanakan setiap tahun melibatkan warga kerjanya di seluruh negara.

###



RMH Online Booking