Azizulhasni, Muqharabbin serah sumbangan kepada Rumah Ronald Mcdonald

Kuala Lumpur : Jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan penjelajah Grand Slam Negara Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menyerahkan sumbangan kepada keluarga transit di Rumah Ronald McDonald terbaharu di Hospital Tunku Azizah di sini.

 

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua personaliti berkenaan berkata katil ceragem, makanan dan lampin pakai buang dewasa adalah antara sumbangan yang diserahkan kepada pengurus rumah transit terbabit Wan Siti Fikriah Wan Ismail.

 

Menurut Mohd Azizulhasni, beliau berasa sayu melihat dua kanak-kanak yang menghidapi kanser dan berdoa agar mereka segera sembuh daripada penyakit itu.

 

“Sayu hati saya apabila melihat adik Jannah dan Arisya yang mengidap kanser tahap empat. Saya hanya mampu berdoa agar Allah sembuhkan sakit yang dialami dan meminta agar keluarganya dapat menghadapi dugaan ini dengan cekal,” katanya.

 

Sementara itu, Muhamad Muqharabbin yang juga Pengerusi Biro Sukan Pemuda Umno berkata, pihaknya akan terus menyumbang bantuan sedemikian kepada mereka yang memerlukan mengikut kemampuan.

 

Wan Siti Fikriah pula merakamkan penghargaan kepada Mohd Azizulhasni dan Muhamad Muqharabbin kerana sudi membantu keluarga dan anak-anak kecil yang mengalami dugaan besar.

 

“Hari ini terdapat dua keluarga yang menginap di sini untuk membawa anak mereka menjalani rawatan kemoterapi.

 

“Jadi, tempat ini akan menjadi tempat tidur dan rehat bagi keluarga pesakit sementara menunggu anak mereka selesai berjumpa doktor,” katanya.

 

Artikel ini dipetik dari Harian Metro