Rumah Ronald McDonald di Hospital USM Sudah DiBuka

RMHC Malaysia telah mengadakan majlis gotong royong untuk menyambut keluarga pesakit pediatrik.

 

KUBANG KERIAN, 23 Jun 2019 – Persatuan Kebajikan Rumah Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) dan McDonald’s Malaysia dengan kerjasama Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) telah mengadakan majlis gotong royong sempena pembukaan Rumah Ronald McDonald di Hospital Universiti Sains Malaysia bagi menyambut keluarga pesakit pediatrik yang mendapat rawatan di Hospital USM dan hospital-hospital sekitarnya.

 

Pembukaan Rumah Ronald McDonald yang megah berdiri di Hospital USM menjadikannya Rumah Ronald McDonald kedua di Malaysia, selepas yang pertama dibuka di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur pada tahun 1999.

 

Azmir Jaafar, Presiden RMHC dan Pengarah Urusan McDonald’s Malaysia berkata, “Rumah Ronald McDonald ini ditubuhkan kerana terdapat keperluannya yang amat tinggi di HUSM yang merupakan hospital rujukan yang menerima lebih daripada 20,000 pesakit setahun. Kemudahan seperti ini penting kerana ia bukan sahaja menyediakan kemudahan dan penginapan untuk meringankan beban keluarga pesakit, malah ia juga sedikit sebanyak memberi keluarga-keluarga ini kekuatan emosi dengan sokongan daripada keluarga-keluarga lain yang bersama-sama menemani anak mereka yang sakit.”

 

YBhg. Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia berkata, “Dengan adanya Rumah Ronald McDonald di kampus Hospital USM, ahli keluarga akan sentiasa dapat bersama anak-anak mereka sepanjang tempoh mereka menerima rawatan di hospital. Ini adalah penting kerana secara tak langsung, ia akan menggalakkan pemulihan kesihatan pesakit-pesakit pediaktik dengan kadar yang pantas kerana sokongan fizikal dan emosi dari ahli keluarga.”

 

Dengan kos pembinaan bernilai RM4 juta, Rumah Ronald McDonald di Hospital USM dilengkapi dengan 18 buah bilik tidur serta ruang makan, ruang istirahat, dapur, bilik dobi, bilik permainan, dan lain-lain kemudahan untuk penghuni. Selain daripada itu, rumah ini juga ternyata lebih istimewa dengan adanya Bilik Sensori Ronald McDonald yang menyediakan peralatan multi deria khas yang disumbangkan kepada Hospital USM untuk membantu perkembangan kanak-kanak istimewa.

 

Rumah Ronald McDonald yang direalisasikan hari ini adalah sumbangan RMHC Malaysia, McDonald’s Malaysia, rakan-rakan niaga, dan pelanggan-pelanggan McDonald’s yang menyumbang melalui tabung RMHC yang terletak di lebih daripada 275 restoran McDonald’s di seluruh negara.

 

Turut hadir pada Majlis Pembukaan Rumah Ronald McDonald adalah YBhg. Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim, Pengarah Kampus Kesihatan/Pengarah Hospital USM.

 

Orang ramai yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai program Rumah Ronald McDonald (RMH) di Hospital USM, Kelantan atau ingin menyumbang melalui sumbangan tunai atau bantuan sukarela boleh menghubungi cawangan RMH di PPUKM, Kuala Lumpur di talian 03-91735994 untuk keterangan lanjut.

 

-TAMAT-

 

Latarbelakang McDonald’s

McDonald’s adalah rangkaian global perkhidmatan makanan melibatkan kira-kira 36,000 cawangan restoran di seluruh dunia dengan pelanggan lebih 70 juta sehari di lebih 100 buah negara. Sepanjang 37 tahun McDonald’s di Malaysia, McDonald’s memberi perkhidmatan kepada lebih 13.5 juta pelanggan sebulan di lebih 275 restoran di seluruh negara. McDonald’s mempunyai lebih 14,000 kakitangan di semua rangkaian restorannya di seluruh negara dengan mewujudkan pelbagai peluang termasuklah perkembangan karier, latihan dan pembangunan. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mcdonalds.com.my

 

Latarbelakang RMHC

RMHC Malaysia telah ditubuhkan pada Februari 1990 sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan dengan misi untuk mewujudkan, mencari dan menyokong program-program yang mampu meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia. RMHC menjalankan empat program utama untuk menyokong teras Kesihatan, Pendidikan dan Kebajikan. Program-program ini ialah Rumah Ronald MvDonald, Bilik Sensori Ronald McDonald, ‘Gift of Smile’ dan Program Pek Kembali ke Sekolah. Sejak 28 tahun lalu, RMHC telah memberi impak dalam kehidupan lebih 20,000 kanak-kanak melibatkan kesihatan, pendidikan dan kebajikan dengan pembiayaan lebih RM16 juta. Dana untuk program-program yang dijalankan diperoleh daripada sumbangan ikhlas individu menerusi tabung yang terdapat di sestoran-restoran McDonald’s dan juga tajaan serta sumbangan dari rakan korporat. Untuk maklumat lanjut mengenai RMHC, sila layari https://rmhc-malaysia.my/.

 

Latarbelakang Hospital USM

Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) mula beroperasi sebagai hospital pengajar yang memberi perkhidmatan awam pada tahun 1983. Diterajui oleh Profesor Dr. Kamaruzaman Wan Su, Pengarah pertama Hospital USM bersama dua orang timbalan serta 570 orang staf pelopor. Kini, selama lebih 30 tahun berkhidmat kepada masyarakat, Hospital USM dengan bilangan staf mencecah 3,322 orang dan Pengarah Hospital sebagai penerajunya menawarkan pelbagai perkhidmatan klinikal dan sokongan klinikal bukan sahaja kepada masyarakat setempat malahan pesakit dari seluruh Malaysia.

 

Hospital USM telah dirasmikan oleh KDYMM Al-Sultan Kelantan, Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pada 26 Ogos 1984.Tujuan utama penubuhan Hospital USM adalah untuk menjadi hospital pengajar bagi bidang Sains Perubatan, Sains Pergigian dan Sains Kesihatan. Selain itu, Hospital USM juga menyediakan perkhidmatan rawatan kepada pesakit di samping memberi peluang kepada para penyelidik untuk menjalankan aktiviti penyelidikan.

 

Disokong dengan misi utama iaitu: “Hospital Universiti Sains Malaysia akan menerokai bidang-bidang baru perkhidmatan pesakit dan menjadi sebuah pusat perubatan yang cemerlang dengan memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan penggunaan teknologi perubatan terkini”, Hospital USM semakin pantas mengorak langkah kearah merealisasikan misi tersebut.

 

Sebagai sebuah organisasi korporat yang cemerlang, Hospital USM beroperasi dengan memberikan perkhidmatan perawatan pesakit berdasarkan kepada:

  • Kecekapan pentadbiran dan pengurusan
  • Produk perkhidmatan yang berkualiti
  • Berkepentingan dalam aktiviti pengajaran dan penyelidikan
  • Penjanaan kewangan yang optima
  • Pembinaan nilai murni sumber manusia
  • Pemeliharaan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

 

Maklumat lanjut, sila hubungi:

 

Nasri Nordin | Norazizan A. Manaf, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia

+603-7843.3388

Nasri. Nordin@my.mcd.com | Azie.Manaf@my.mcd.com

 

Wan Shariena Bahrom, McDonald’s Malaysia

+603.7843.3236

WanShariena.Bahrom@my.mcd.com

 

Wan Azahar Wan Ahmad | Nik Sheila Erini Che Mat Kamel, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

+6017.200.2105 | +6013.985.3884

wazahar@usm.my | sheila@usm.my

 

Kirtana Dharmananda | Nayli Majid

kirtana.dharmananda@lumospr.net | nayli.majid@lumospr.net

011-2320-7847 | 011-1111-1647

GALLERY


RMH Online Booking