McDonald’s Malaysia dekati masyarakat di utara tanah air.

ALOR SETAR, 3 Disember 2018 – McDonald’s Malaysia mengumumkan sumbangan sebanyak RM1,125,000 melibatkan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan kurang berkemampuan dan miskin tegar di Kedah pada penganjuran program komunitinya.

 

Inisiatif-inisiatif yang diumumkan termasuk sumbangan zakat, pelantikan individu dari golongan asnaf ke program perantisan McDonald’s, dan penyerahan pek “Kembali ke Sekolah” kepada 1,250 pelajar sekolah rendah dari keluarga miskin di Kedah untuk persiapan sesi persekolahan 2019.

 

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO) Dato’ Dr Ismail Salleh merupakan tetamu kehormat bagi program komuniti ini.

 

“Kami amat mengalu-alukan program seperti ini yang memberi manfaat dalam kehidupan masyarakat di sini dan ia merupakan usaha murni yang wajar dipuji. Acara komuniti yang dianjurkan oleh McDonald’s Malaysia ini adalah contoh bagaimana syarikat-syarikat swasta boleh bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat,” kata Dato’ Dr Ismail.

 

McDonald’s Malaysia juga memenuhi kewajipan zakatnya kepada negeri Kedah.

 

“McDonald’s Malaysia, di bawah pemilikan baharu Kumpulan Reza, telah memenuhi kewajipan zakatnya sejak tahun lalu, kerana ia merupakan entiti perniagaan yang 100% dimiliki oleh umat Islam. Kumpulan Reza adalah syarikat yang memiliki dan mengurus kesemua cawangan McDonald’s di wilayah barat dan selatan Arab Saudi secara eksklusif sejak 20 tahun lalu,” kata Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar.

Program perantisan McDonald’s Malaysia

 

Program perantisan McDonald’s adalah sebahagian daripada Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di bawah Kementerian Sumber Manusia. Pensijilan SLDN oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (DSD) merupakan salah satu usaha restoran khidmat segera ini untuk meningkatkan piawaian pembangunan modal insan syarikat serta memupuk bakat baharu.

 

“Kami mengalu-alukan para belia dari golongan asnaf di negeri Kedah untuk menyertai program perantisan kami. Tempoh latihan adalah selama 18 bulan di mana para perantis akan menerima latihan praktikal dan pembelajaran teori di dalam kelas. Sebaik sahaja mereka menamatkan program ini, mereka layak untuk bekerja di restoran McDonald’s sepenuh masa. Selain itu, program ini juga membolehkan mereka untuk mempelajari kemahiran sepanjang hayat,” kata Azmir.

 

Selain mendapat manfaat dari penajaan penuh program latihan, setiap perantis juga diberi elaun bulanan sebanyak RM1,200, faedah perubatan dan insurans, serta makanan percuma.

Program “Kembali ke Sekolah”

 

Majlis yang diadakan di McDonald’s Aman Central ini turut menyaksikan penyerahan pek “Kembali ke Sekolah” yang merupakan program tahunan yang dilaksanakan oleh McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

Program “Kembali ke Sekolah” turut mendapat sokongan francaisi McDonald’s dan rakan-rakan perniagaan McDonald’s, dimana ia bertujuan menghulurkan bantuan kepada lebih 17,000 kanak-kanak sekolah rendah dari golongan miskin bandar di seluruh negara dengan pemberian set pakaian sekolah baharu. Setiap kanak-kanak menerima 1 set pakaian seragam sekolah, sepasang kasut sekolah, dan sebuah beg sekolah untuk persediaan memulakan sesi persekolahan tahun 2019. Keseluruhan sumbangan di bawah program “Kembali ke Sokolah” tahun ini dianggarkan melebihi RM1.7 juta. Di Kedah, seramai 1,250 kanak-kanak sekolah rendah dari golongan miskin bandar menerima pek ini.

 

Menurut Azmir, program “Kembali ke Sekolah” adalah amat penting untuk McDonald’s dan RMHC kerana ia memberi bantuan kepada kanak-kanak sekolah rendah yang datang dari golongan kurang berkemampuan dan miskin bandar.

 

“Kami berharap usaha ini akan membantu mengurangkan beban kewangan keluarga yang terlibat dan memberi motivasi kepada anak-anak ini untuk memulakan tahun persekolahan yang baharu dengan penuh keyakinan. Hal ini amat penting kerana mereka adalah pemimpin masa depan negara kita,” tambah Azmir.



RMH Online Booking